Tuesday, August 25, 2009

13 Rahsia Cinta...!!~

Di alam percintaan, ia secara tidak langsung memerlukan anda berkorban dan bertolak ansur antara satu sama lain. Apa yang penting dan perlu dititikberatkan ialah percintaan yang terjalin mampu memberikan kebahagian kepada anda dan pasangan. Bagi mengukuhkan lagi perasaan cinta di antara anda, anda perlu memahami satu persatu tentang prinsip serta falsafah cinta. Dengan cara ini pasti ianya dapat membuka mata dan fikiran anda supaya lebih menghargai cinta.

1. Jika seseorang yang istimewa hadir di dalam hidup anda dan dengan beberapa sebab tertentu dia terpaksa pergi, anda harus merelakannya. Jangan terlalu bersedih dan terimalah hakikat bahawa dia tercipta bukan untukmu. Walaupun tidak dapat bersama untuk selamanya, sekurang-kurangnya dia pernah hadir membahagiakan anda. Sentiasa percaya kepada jodoh kerana jika dia memang ditakdirkan untuk anda, walaupun sejuta halangan yang mendatang, dia pasti akan tetap menjadi milik anda.

2. Jangan cuba melarikan diri daripada cinta apabila cinta sudah berada di hadapan anda. Sentiasa menghargai insan yang menyayangi dan mencintai anda. Bukan mudah untuk mencari cinta kerana cinta selalunya hadir dengan hati yang tulus dan niat yang ikhlas.



3. Sentiasa berani berhadapan dengan risiko. Di alam percintaan semestinya pelbagai halangan akan ditempuhi. Hanya mereka yang benar-benar berani mampu merasai cinta yang sejati. Ingat peluang bukan selalu hadir dan mungkin itulah peluang sekali seumur hidup yang akan kamu temui. Maka apabila bertemu dengan orang yang sesuai, rebut peluang itu dan jangan biarkan dia ternanti-nantikan balasan cinta anda.

4. Belajar menghargai orang lain yang sentiasa setia di saat anda susah ataupun senang. Jangan sampai anda mengalirkan air mata akibat menyesal kerana membiarkan cinta berlalu begitu sahaja. Sudah lumrah manusia yang selalu tidak menghargai seseorang yang menyayangi kita sehinggalah orang tersebut pergi meninggalkan kita. Saat itu pasti tiada sesiapa yang akan menemani anda lagi. 

5. Terdapat banyak bintang di langit, tetapi hanya sebutir bintang yang benar-benar menyerlah dan mampu menarik perhatian anda. Tetapi awas, jangan terlalu asyik memandang keindahan kemilau bintang sehingga lupa kepada rumput yang dipijak. Mungkin pasangan anda sekarang bukanlah seorang yang benar-benar sempurna di mata anda, tetapi kebijaksanaannya melayan anda, berjaya menutup kekurangannya. 


6. Jangan terlalu memilih. Sentiasa ingat bahawa tiada seorang manusia pun di dunia ini yang sempurna di dalam setiap aspek. Apa yang penting sentiasa berfikiran positif dan memberi peluang kepada insan yang anda sayang buktikan kebolehannya. Anda juga harus ingat, kesempurnaan dalam cinta tidak akan dapat dicapai sekiranya anda tidak berusaha bersama. 

7. Cinta itu selalu membuatkan anda gembira walaupun ia kadang kala melukakan. Oleh sebab itu berikanlah cinta sejati kepada mereka yang benar-benar layak. Ini kerana bukan semua orang boleh bertahan apabila mengalami kelukaan yang diakibatkan oleh cinta. 

8. Kepercayaan kepada pasangan adalah amat penting. Tanpa sikap saling mempercayai antara satu sama lain, hubungan yang terbina sudah pasti tidak akan mampu untuk bertahan lama. Jadi untuk mempercayai seseorang yang anda cintai, anda mesti membuatkan dia sentiasa mempercayai anda terlebih dahulu. Apa yang penting, sentiasa yakin dan jangan sesekali selitkan perasaan ragu-ragu terhadap pasangan apabila perasaan percaya itu telah mula wujud di dalam jiwa anda berdua.

9. Cinta memerlukan masa untuk anda menyedarinya. Walaupun ada yang percaya kepada cinta pandang pertama, tetapi ia masih memerlukan masa untuk insan yang seorang lagi merasai kehadiran cinta anda. Perasaan sayang dan kasih juga perlu dipupuk dan itu semua memerlukan masa supaya cinta yang terbina menjadi utuh buat selamanya.

10. Jangan sesekali berputus asa apabila wujudnya persaingan untuk merebut cinta. Anda perlu yakin dengan kehebatan dan keistimewaan anda. Namun jika anda gagal setelah berjuang, itu membuktikan anda seorang yang matang dan sentiasa positif apabila berhadapan dengan kegagalan. Tetapi sekiranya anda berjaya merebut cintanya, itu pastinya menjadi kenangan paling manis untuk anda kenang di sepanjang hidup anda.


11. Jangan bertangguh atau takut untuk meluahkan rasa hati. Biarkan dia tahu rahsia hati anda dan berikan dia sedikit masa untuk memikirkannya. Salah satu perkara yang paling indah dalam hidup ialah apabila anda memberitahu insan yang anda sayang betapa penting dan istimewanya mereka di dalam hidup anda. Dengan itu anda pasti akan berasa puas dan lebih yakin untuk meneruskan kehidupan.

12. Cinta itu berasaskan pengorbanan dan tolak ansur. Salah satu cabaran paling sukar dalam hidup ialah mencari orang yang tahu kelemahan dan kekurangan diri anda tetapi dalam masa yang sama masih boleh menerima serta mencintai diri anda seadanya. Jika kamu menemui insan sebegini, jangan sekali-kali melepaskannya kerana dia sudah pasti jodoh terbaik buat anda.

13. Sentiasa bukakan hati anda kepada insan yang anda sayangi. Jangan sekali-kali meraguinya kerana keikhlasan yang dipamerkan sudah pasti akan dapat dirasai oleh hati yang sentiasa dipenuhi oleh cinta suci.

No comments: